Selasa, 18 Jun 2019 | 4:22pm

Peniaga pasar malam mengaku rogol adik tiri

KOTA BHARU: Seorang peniaga pasar malam berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap lima tuduhan merogol adik tirinya berusia 14 tahun.

Tertuduh berusia 35 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman, kerana menunggu laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga kelima tertuduh didakwa merogol mangsa di tiga rumah di sekitar Pasir Puteh pada Oktober 2018 hingga Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

SEORANG peniaga pasar malam berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap lima tuduhan merogol adik tirinya berusia 14 tahun di tiga rumah di sekitar Pasir Puteh pada Oktober 2018 hingga Mei 2019 lalu. NSTP/Zaman Huri Isa
Berita Harian X