Rabu, 19 Jun 2019 | 9:57am
DUA wanita yang ditahan dan sebahagian dadah heroin yang dirampas polis dakam serbuan di sebuah bangunan kosong di Kampung Kelibang, Langkawi. - Foto ihsan PDRM

Nak lari ke mana...

LANGKAWI: Percubaan dua wanita dipercayai tokan dadah melarikan diri daripada polis ketika serbuan di premis kosong di Kampung Kelibang, di sini gagal apabila ditahan bersama sejumlah dadah jenis heroin, petang semalam.

Dalam serbuan jam 2.45 petang itu, suspek berusia 23 dan 26 tahun itu cuba melarikan diri selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menyerbu bangunan kosong berhampiran stesen minyak.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata bagaimanapun, kedua-dua wanita tempatan itu berjaya ditahan ketika sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah.

“Menyedari kehadiran polis, kedua-dua wanita tempatan yang juga penganggur dan berada dalam keadaan mencurigakan itu telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri, sebelum ditahan.

“Pemeriksaan fizikal menemui menemui 15 keratan straw dan dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 15.3 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati suspek pertama berusia 23 tahun memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala suspek kedua berusia 26 tahun pula turut memilik rekod jenayah sama bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) ADB 1952.

“Bagi kes terbaharu, kedua-dua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X