Rabu, 19 Jun 2019 | 8:10pm
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Budak maut kepala terkena kipas siling

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat parah di kepala terkena kipas siling selepas dilambung sepupu lelakinya di sebuah rumah di Tasik Tambahan Ampang, dekat sini, Ahad lalu.

Mangsa warga Myanmar dikejarkan ke Hospital Ampang sejurus kejadian berlaku jam 10 malam bagi mendapatkan rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia keesokannya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang menangis ketika dilambung sepupunya berusia 25 tahun itu.

“Susulan kejadian, ibu mangsa bersama abangnya yang berada di lokasi kejadian membawa kanak-kanak itu ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 malam keesokan harinya oleh pihak hospital dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut susulan parah di kepala akibat hentakan objek tumpul.

Mengulas lanjut, katanya, polis menahan lelaki terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, semalam bagi membantu siasatan

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek direman tujuh hari bermula hari ini.

Berita Harian X