X
Jumaat, 21 Jun 2019 | 10:02pm

4 lelaki larikan barang kemas RM500,000

GOMBAK: Empat lelaki disyaki bersenjatakan objek menyerupai pistol dan tukul besi, merompak kedai emas dalam sebuah pasar raya besar di Batu 16, Rawang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, kumpulan penjenayah terbabit berjaya melarikan barang kemas dengan kerugian dianggarkan mencecah setengah juta ringgit.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maaraf, berkata keempat-empat suspek memakai topi keledar dengan pelindung muka dan bersarung tangan menyerbu masuk ke kedai yang terletak di tingkat satu pasar raya besar berkenaan.

“Mereka kemudian memecahkan kaca kaunter pameran dan melarikan barang kemas. Ada dua wanita pekerja berada dalam kedai ketika kejadian, manakala seorang lelaki bertugas sebagai pengawal keselamatan hanya bersenjatakan cota.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek. Kerugian dianggarkan RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

CERMIN pameran barang kemas di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya Batu 16 Rawang yang dipecahkan empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan tukul besi, hari ini. NSTP/Email
CERMIN pameran barang kemas di sebuah kedai emas dalam sebuah pasar raya Batu 16 Rawang yang dipecahkan empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan tukul besi, hari ini. NSTP/Email
Berita Harian X