Isnin, 24 Jun 2019 | 3:10pm

Kes rosakkan kubur: Lelaki Indonesia direman 4 hari

MELAKA: Seorang tukang rumah warga Indonesia direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, di sini, dibakar dan dirosakkan pada Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Syarina Shaarani @ Tan, di Mahkamah Khas Reman Ayer Keroh, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Bachang, susulan maklumat saksi melihat lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan ketika kejadian.

“Namun hingga kini, belum ada pengakuan lisan dibuat suspek dan motif kejadian juga masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada malam Jumaat lalu, penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, gempar apabila kira-kira 20 kubur di tanah perkuburan itu ditemukan rosak, termasuk batu nisan dipecahkan dan dicabut, selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Yhazid berkata siasatan awal mendapati tanah perkuburan seluas kira-kira 0.8 hektar itu ada dua penjaga.

“Bagaimanapun, kedua-dua penjaga terbabit dikatakan tidak berada di lokasi ketika kejadian berlaku,” katanya.

SEORANG tukang rumah warga Indonesia direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, dibakar dan dirosakkan pada Jumaat lalu. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X