Isnin, 24 Jun 2019 | 8:52pm
TIMBALAN Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hair ini. - Foto Zaman Huri Isa
TIMBALAN Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hair ini. - Foto Zaman Huri Isa

2 lelaki ditahan bersama senjata berbahaya, dadah

KOTA BHARU: Dua lelaki ditahan bersama beberapa senjata berbahaya dan dadah bernilai RM4,000 dalam serbuan di sebuah rumah peniaga kosmetik di Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas, kelmarin.

Dalam operasi jam 10.45 malam itu, polis menahan suspek berusia 31 dan 27 tahun serta menemui parang, pisau, lastik, pedang, kapak, satu penyedut berisi syabu selain satu plastik berisi 14 pil kuda di dalam kereta Perodua Myvi yang dinaiki suspek.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata sebelum kejadian, mangsa berusia 54 tahun didatangi dua suspek dalam keadaan mencurigakan, mengatakan ingin membeli barang kosmetik.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya kemudian menghubungi polis dan difahamkan, sebaik polis tiba di rumah mangsa, seorang daripada suspek baru saja keluar dari tandas.

“Pemeriksaan terus dilakukan dalam tandas dan polis menemui pistol Revolver berisi enam peluru, satu beg kecil berisi 13 peluru, tiga kelongsong peluru dan sepasang gari.

"Pemeriksaan lanjut dalam kereta yang dinaiki dua suspek itu pula menemui senjata dan dadah. Mereka kini ditahan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Kata Azmi, ketika siasatan awal, suspek tidak mengakui memiliki dan membawa semua senjata terbabit dan siasatan lanjut diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar suspek ke rumah mangsa bersama senjata dan dadah itu.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X