Selasa, 25 Jun 2019 | 1:00pm

5 dituduh bergaduh di perkarangan restoran makanan segera

KUANTAN: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana bergaduh di perkarangan sebuah restoran makanan segera, dekat sini, minggu lalu.

Kelima-lima tertuduh yang berusia antara 19 dan 20 tahun, didakwa bergaduh beramai-ramai di perkarangan restoran McDonalds di Sungai Isap pada jam 1 pagi, 19 Jun lalu.

Tertuduh pertama, Ahmad Tarmizi Othman, 19, dari Perkampungan Sungai Isap 2, di sini, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Empat lagi tertuduh, Muhammad Syamil Muhaimin Ahmad Rizal, 20, Muhammad Haziq Aiman Zamani, 20, Afif Shuhairi, 20, dan Muhammad Luqman Hakim Aminullah, 19, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Majistret Nor Izzati Zakaria mengenakan hukuman denda masing-masing RM1,000 kepada empat tertuduh itu dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Keempat-empat tertuduh membayar denda berkenaan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ker Qi En. Ahmad Tarmizi diwakili peguam, Mohd Saifuldin Ab Rahman, manakala empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika mengemukakan rayuan keempat-empat tertuduh memohon supaya hukuman ke atas mereka diringankan dan Muhammad Syamil Muhaimin serta Muhammad Haziq Aiman memberi alasan mereka hanya bekerja sebagai pekerja am di Pelabuhan Kuantan dengan pendapatan RM1,300 sebulan manakala Afif dan Muhammad Luqman Hakim memaklumkan mereka masih belajar dan ditanggung oleh keluarga.

Ahmad Tarmizi menerusi peguamnya juga memohon jaminan terhadapnya dikurangkan, sebelum mahkamah membenarkan Ahmad Tarmizi diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 11 Julai depan untuk sebutan semula.

Empat remaja mengaku bersalah, manakala seorang lagi tertuduh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, atas pertuduhan bergaduh di tempat awam pada 19 Jun lalu. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X