Selasa, 25 Jun 2019 | 7:34pm
MOHAMAD Syahidi (kanan) bersama mirin Tengku Kamarudin (kiri) dan Mohamad Shazlimie Mohd Rosli.

Tiga sahabat karib maut bersama

KOTA BHARU: “Saya tak sangka, persahabatan mereka yang erat sejak sekolah rendah berakhir dengan menemui ajal bersama,” kata Dr Mohamad Syafiq Ahmad Kamil iaitu abang kepada Mohamad Syahidi, 24, yang maut dalam kemalangan di Jalan Gerik - Baling, di Gerik, petang semalam.

Mohamad Syahidi dan dua rakan baiknya, Khairul Amirin Tengku Kamarudin serta Mohamad Shazlimie Mohd Rosli, masing-masing berusia 24 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian, selepas kereta mereka naiki merempuh bas persiaran di Jalan Gerik-Baling. Seorang lagi penumpang PERODUA Myvi, Mohd Shahrin Rashid, 23, parah.

Dr Mohamad Syafiq, 28, berkata adiknya bersama semua rakannya itu bertolak ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, Sabtu lalu untuk menukar kereta dengan adik bongsunya, Mohamad Syarif, 19, sebelum mereka bercuti ke Pulau Pinang.

Katanya, mereka sekeluarga menerima berita sedih itu pada jam 6 petang kelmarin, sebaik dimaklumkan bapanya, Ahmad Kamil Sa’ud, 62, yang menerima panggilan telefon daripada polis.

“Keluarga saya terus bergegas ke Hospital Gerik sebaik menerima panggilan telefon, manakala saya di rumah untuk membuat persiapan menunggu ketibaan jenazah adik yang dijangka tiba petang ini.


ABANG kepada Mohamad Syahidi, Mohamad Syafiq Ahmad Kamil menunjukkan gambar terakhir bersama arwah ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini. - Foto Syaherah Mustafa

“Kali terakhir saya berjumpa arwah sebelum dia bertolak ke Perlis. Arwah adalah anak kelima daripada enam beradik yang kini bercuti semester dan di tahun dua jurusan Diploma Geomatik di Politeknik Merlimau, Melaka.

“Arwah juga antara adik yang boleh diharapkan untuk memandu jauh, malah sebelum dia ke Perlis, arwah baru saja pulang dari Kuala Lumpur bersama bapa,” katanya yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini.

Dr Mohammad Syafiq berkata, adiknya itu disenangi keluarga dan saudara-mara kerana sikapnya yang ramah dan sentiasa ceria.

“Kami tidak menyangka sambutan Aidilfitri tahun ini dengan memakai baju sedondon warna ungu menjadi sambutan terakhir bersama arwah.

“Adik saya berkawan baik terutama dengan dua rakannya yang juga maut itu, malah mereka bersekolah di sekolah sama sejak sekolah rendah dan menengah.

“Walaupun sedih dan terkejut dengan kehilangan adik sekelip mata, kami sekeluarga tetap reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Jenazah Mohamad Syahidi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Chat, di sini.

6018 dibaca
Berita Harian X