Rabu, 26 Jun 2019 | 2:27pm
MAZLAN Mansor.

Polis siasat video seks siri keempat

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kewujudan dan penularan beberapa siri klip video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri dibuat, sekali gus melalui satu kertas siasatan yang dibuka sebelum ini.

Ia termasuk klip video keempat yang mula ditularkan melalui medium media sosial sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata siasatan berhubung kes berkenaan masih berjalan tanpa sebarang tangkapan baharu setakat ini.

“Perkara ini berlaku setiap hari.. siasatan untuk semua video itu dibawa ke satu IP (kertas siasatan).

“Setakat ini tiada tangkapan kecuali Haziq (Haziq Abdullah Abdul Aziz) tempoh hari,” katanya selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KDPRM) kali ke-84 yang dirasmikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Ketika ditanya berhubung siasatan ketulenan video berkenaan, Mazlan berkata perkara itu dalam tindakan pasukan forensik polis.

“Keseluruhan siasatan berhubung kes ini masih berjalan, saya tidak boleh dedahkan perkembangan siasatan.

“Anda kena tunggu sehingga siasatan selesai,” tegas beliau.

Sebelum ini, beberapa siri video seks membabitkan dua lelaki tular di media sosial diikuti pengakuan oleh Haziq yang mengaku sebagai seorang daripada lelaki dalam video berkenaan.

Haziq yang juga Ketua Pemuda PKR Santubong mendakwa orang yang bersamanya dalam video berkenaan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, Haziq dilaporkan ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 Jun lalu ketika mahu berlepas ke Manila, Filipina dan dibebaskan pada hari berikutnya dengan jaminan polis.

1121 dibaca
Berita Harian X