Rabu, 26 Jun 2019 | 4:53pm

2 Ah Long kena tahan edar risalah pinjaman

PENAMPANG: Dua lelaki warga tempatan disyaki ahli sindiket ceti haram atau ‘Ah Long’ dalam operasi khas, Op Vulture, di Bundusan Square, di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang leka mengedar risalah pinjaman wang tanpa lesen ditawarkan mereka.

“Keseluruhannya, 457 keping risalah pinjaman wang tanpa lesen dirampas. Kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya memandang serius kegiatan `Ah Long’ di daerah berkenaan dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan muslihat sindiket terbabit supaya tidak terperangkap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 29 AA(i) mengikut Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimun RM20,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

232 dibaca
Berita Harian X