Khamis, 27 Jun 2019 | 12:46pm

Pelakon komedi kena tahan lagi

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon komedi ditahan di lobi sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras, di sini, petang kelmarin, selepas didapati memiliki rekod dikehendaki polis berhubung kes dadah.

Pelakon berusia 41 tahun yang memiliki empat rekod lampau berhubung kes dadah ditahan bersama dua rakannya iaitu lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 25 tahun pada jam 5.45 petang.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan terbabit dalam satu pergaduhan di lobi hotel berkenaan sebelum pihak pengurusan bertindak menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.

Hasil pemeriksaan ke atas kesemua mereka, polis turut menemui satu paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu daripada wanita yang ditahan.

Selain pelakon terbabit, rakan lelaki yang ditahan turut memiliki empat rekod lampau manakala wanita terbabit memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah.

Ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati lelaki terbabit positif mengambil dadah jenis ganja selain dua rakannya juga turut disahkan positif.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang mengesahkan kejadian berkata, susulan tangkapan itu pelakon terbabit direman sehari sebelum dibebaskan semalam.

Katanya, dua lagi suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X