Khamis, 27 Jun 2019 | 1:55pm

Wanita mahu kait mangga maut terkena renjatan elektrik

LAHAD DATU: Seorang wanita maut terkena renjatan elektrik ketika mahu mengait mangga untuk adik sedang mengandung yang mengidam buah itu di kebunnya di Kampung Terusan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Sarimah Dalam, 58, melecur 90 peratus apabila sabit buah diperbuat daripada logam yang digunakannya tersangkut pada wayar elektrik.

Anak mangsa, Stellah Tajuid, 36, berkata kejadian berlaku ketika ibunya dikatakan mahu mengait mangga untuk ibu saudara yang sedang mengandung.

“Ibu mahu kaitkan untuk adiknya yang mengidam mangga muda dengan menggunakan sabit kelapa sawit. Namun, ibu secara tidak sengaja terkait wayar menyebabkannya terkena renjatan elektrik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stellah berkata, beliau terkejut sebaik dimaklumkan berita itu sebelum bergegas pulang dari Pulau Pinang dengan mengambil penerbangan ke Kota Kinabalu.

“Saya hanya tiba di kampung pada jam 5 pagi tadi dengan menaiki bas dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu tetapi arwah ibu sudah dikebumikan, semalam.

“Saya cuma kesal tidak dapat berjumpa dengan ibu kerana sudah empat tahun tidak pulang ke kampung.

“Sebelum ini, arwah ada menyatakan hasrat mahu datang ke Pulau Pinang untuk menjenguk saya pada Aidiladha nanti,” katanya.

Beliau memaklumkan kali terakhir bercakap dengan ibunya, dua hari lalu, dan arwah tidak menunjukkan sebarang kelainan.

“Biasanya, kami akan membuat panggilan telefon dan video untuk arwah ibu melepas rindu pada cucu. Bagaimanapun, kami reda dengan pemergian arwah ibu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata mangsa dikatakan rebah selepas terkena renjatan elektrik dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu sebelum disahkan meninggal dunia akibat melecur.

“Mangsa cedera di seluruh badan dan melecur 90 peratus akibat renjatan elektrik. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita Harian X