Khamis, 27 Jun 2019 | 4:17pm
MUHAMMAD Shafee keluar dari kamar mahkamah selepas sebutan kes dakwaan atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak hasil aktiviti pengubahan wang haram serta membuat penyataan tidak betul kepada LHDN di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi
MUHAMMAD Shafee keluar dari kamar mahkamah selepas sebutan kes dakwaan atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak hasil aktiviti pengubahan wang haram serta membuat penyataan tidak betul kepada LHDN di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Bicara Muhammad Shafee Abdullah ditetap tahun depan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ditetapkan pada Mac tahun depan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 16 hari bermula Mac 2020 untuk perbicaraan kes selepas membenarkan permohonan peguam bela Farhan Read untuk melapangkan perbicaraan pada tarikh ditetapkan sebelum ini.

Tarikh baharu yang ditetapkan ialah pada 9 Mac hingga 13 Mac; 30 Mac hingga 2 April; 12 Mei hingga 14 Mei dan 18 hingga 21 Mei 2020.

Terdahulu, Farhan yang mewakili Muhammad Shafee memberitahu mahkamah anak guamnya perlu menghadiri perbicaraan SRC International Sdn Bhd kerana beliau adalah peguam utama kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tarikh pada Julai itu bertembung dengan tarikh bicara SRC. Buat masa ini (perbicaraan) SRC adalah keutamaan. Justeru kami mohon tarikh perbicaraan pada Julai dilapangkan,” katanya.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Collin menetapkan 30 Ogos depan untuk pengurusan kes.

Pada 13 September tahun lalu, Muhammad Shafee, 66, mengaku tidak bersalah membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada kegiatan haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, J2 dan K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim pada 3 Mac 2015 dan pada 29 Jun 2015.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee berhadapan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah hasil kegiatan haram.

Berita Harian X