Jumaat, 28 Jun 2019 | 12:32pm
 Anggota HAZMAT Bomba melakukan kerja pengesanan kobocoran bahan kimia jenis Nitrogen di sebuah lori yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, semalam. - Foto ihsan Bomba
Anggota HAZMAT Bomba melakukan kerja pengesanan kobocoran bahan kimia jenis Nitrogen di sebuah lori yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, semalam. - Foto ihsan Bomba

Pemandu lori terhidu gas di CIQ Gelang Patah

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terhidu gas di bahagian pam lori dalam kejadian berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, dekat sini, semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kamal Saari, berkata mangsa lelaki itu berusia 31 tahun itu sudah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh orang awam sebaik bomba tiba di lokasi.

“Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 6.10 petang sebelum menghantar jentera ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, dipercayai terdapat kebocoran bahan kimia jenis Nitrogen (UN 1977) di bahagian pam lori dan terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori.

“Mangsa disyaki terhidu gas berdasarkan keadaan mangsa yang muntah-muntah serta merah di mata dan muka.

“Mangsa dihantar ke HSA oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Kamal berkata, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) hadir ke lokasi sebelum melakukan pemantauan risiko dan bahan bahaya di lori terbabit.

“Bagaimanapun, HAZMAT mengesahkan tiada bahan berbahaya yang bocor, selain pelepasan sudah diberi kepada pihak CIQ untuk meneruskan urusan seperti biasa,” katanya.

Berita Harian X