Ahad, 30 Jun 2019 | 11:02am
KEADAAN sebuah pesawat ringan jenis glider dipercayai terhempas di kawasan Purun, berhampiran Titi pada petang tadi. NSTP/Ihsan BOMBA.
KEADAAN sebuah pesawat ringan jenis glider dipercayai terhempas di kawasan Purun, berhampiran Titi pada petang tadi. NSTP/Ihsan BOMBA.

2 mangsa pesawat glider dikenal pasti

JELEBU: Polis sudah mengenal pasti dua mangsa pesawat ringan jenis glider yang terhempas dan terbakar di Purun berhampiran Titi di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata seorang mangsa adalah warga Amerika Syarikat, Les Zsort Wrosmarty dan seorang lagi warga tempatan, Siow Moon Yoew, 56 tahun.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan terbakar dan melecur di bahagian kepala, tangan dan kaki.

“Kedua mangsa sebelum itu mendapatkan rawatan di Hospital Jelebu dengan alasan kecederaan dialami akibat bengkel tempat bekerja terbakar.

“Mereka tidak menceritakan kejadian sebenar kepada petugas di hospital ketika mendapatkan rawatan,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

Semalam dilaporkan sebuah pesawat ringan jenis glider dipercayai terhempas di kawasan Purun, berhampiran Titi kira-kira jam 3.30 petang.

Siasatan polis di lokasi kejadian menemui bangkai pesawat di kawasan itu tetapi tiada mangsa ditemui.

Berita Harian X