Ahad, 30 Jun 2019 | 3:15pm
Kanak-kanak Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh ditempatkan sementara di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani. - NSTP/Ramli Ibrahim

Penduduk Orang Asli ditempatkan di PPS Etnobotani terus meningkat

GUA MUSANG: Bilangan Orang Asli suku Batek ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Etnobotani, di sini, meningkat kepada 78 orang, setakat petang semalam.

Masyarakat dari Kampung Kuala Koh itu dikehendaki tinggal di PPS terbabit selepas menerima rawatan dan keluar daripada Hospital Gua Musang (HGM).

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Hizani Ibrahim, berkata jumlah itu meningkat berikutan penduduk Orang Asli yang dirawat sudah keluar dari hospital.

Beliau berkata, masih ramai penduduk kaum itu, termasuk kanak-kanak, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK) dan bakal ditempatkan di PPS berkenaan.

“Jumlah penduduk tinggal di PPS meningkat setiap hari berbanding hanya sembilan orang pada hari pertama dibuka, 17 Jun lalu

“Nampaknya, mereka lebih selesa tinggal sementara di PPS itu sebagai pusat kawalan dan kuarantin bagi mengelakkan jangkitan penyakit,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan insiden jangkitan demam campak menyebabkan 15 Orang Asli di Kampung Kuala Koh meninggal dunia, manakala 112 lagi menerima rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, Hizani berkata, penduduk ditempatkan di PPS itu diberi pengawasan secukupnya, termasuk dari segi kebajikan dan kebersihan mereka sepanjang masa.

Beliau berkata, selain disediakan makanan mengikut jadual, mereka juga diberi kaunseling dan aktiviti berfaedah.

Berita Harian X