Ahad, 30 Jun 2019 | 5:19pm
Mayat wanita dalam keadaan terapung dan tersangkut pada batu di Sungai Sugud berhampiran Kampung Merungin 2 Timbua, Ranau. - NSTP/Ihsan POLIS
Mayat wanita dalam keadaan terapung dan tersangkut pada batu di Sungai Sugud berhampiran Kampung Merungin 2 Timbua, Ranau. - NSTP/Ihsan POLIS

Pemancing temui mayat wanita separuh bogel di Sungai Sugud

RANAU: Sekumpulan pemancing di Sungai Sugud berhampiran Kampung Merungin 2, Timbua di sini, terkejut apabila menemui mayat wanita terapung di situ, semalam.

Mayat wanita yang dipercayai berusia lingkungan 30-an ditemui tersangkut pada batu sungai dalam keadaan tertiarap kira-kira jam 11 pagi sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden terbabit pada jam 12.30 tengah hari.

“Pihak polis menerima keterangan pengadu mengatakan terdapat satu mayat separuh bogel yang mana hanya memakai baju T berwarna merah dan seluar dalam berwarna merah jambu tanpa kasut.

“Sebaik tiba di lokasi, pihak polis mendapati mangsa adalah seorang wanita namun identitinya belum dapat dikenalpasti,” katanya dihubungi, hari ini.

Mohd Sharul berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai lemas sebelum dihanyutkan arus sungai sehingga di lokasi terakhir mangsa ditemui.

“Polis masih mengesan waris mangsa memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di sekitar lokasi penemuan mayat berkenaan.

“Setakat malam tadi, hanya ada seorang individu yang mencari rakan yang hilang namun kita belum dapat memastikan sama ada mangsa yang ditemui adalah individu terbabit berikutan proses bedah siasat masih berjalan,” katanya.

Mohd Shahrul berkata, keadaan fizikal mayat sudah mulai reput menyukarkan proses pengecaman dan setakat ini tiada sebarang kesan atau unsur-unsur jenayah ditemui.

“Mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X