Selasa, 2 Julai 2019 | 12:15am
Kanak-kanak lelaki lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam landskap di sebuah rumah di Kampung Labu, Lubok Merbau. - Ihsan PDRM

Kanak-kanak 2 tahun lemas jatuh kolam

KUALA KANGSAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam landskap di sebuah rumah di Kampung Labu, Lubok Merbau, di sini, kelmarin.

Muhammad Aqil Irfan Muhammad Haffiez disahkan meninggal dunia pada jam 1 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata ketika kejadian, mangsa bersama ibunya berusia 38 tahun menghadiri rumah terbuka di rumah berkenaan pada jam 10 pagi kelmarin.

Katanya, ketika sedang menikmati jamuan hari raya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan tanpa disedari oleh ibunya.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian ibu mangsa berada dalam rumah manakala mangsa berada di luar rumah bermain bersama saudara-mara yang lain.

“Sepupu mangsa berusia 16 tahun menyedari mangsa tertiarap dalam kolam berkenaan sebelum menjerit meminta tolong,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Razali berkata, seorang daripada saudara mangsa yang bekerja sebagai jururawat cuba memberi bantuan pernafasan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia jam 1 pagi tadi (semalam).

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Razali berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati rumah berkenaan adalah rumah kampung dan mempunyai kolam hiasan dengan kedalaman kira-kira satu meter.

Katanya, jarak rumah berkenaan dengan kolam yang tidak dipagar itu kira-kira empat meter.

“Berikutan itu, ibu mangsa ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

1556 dibaca
Berita Harian X