Selasa, 2 Julai 2019 | 11:27am
PENDUDUK Orang Asli suku Batek menerima suntikan vaksin daripada petugas khas Jabatan Kesihatan Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

204 penduduk Orang Asli diberi suntikan vaksin

GUA MUSANG: Seramai 204 penduduk Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5, sudah diberikan suntikan vaksin sejak kelmarin hingga petang semalam.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid, berkata jumlah itu membabitkan 65 penduduk Kampung Kuala Koh (65) dan 139 lagi dari Kampung Aring 5.

Beliau berkata, suntikan itu bertujuan mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan proses vaksinasi berkenaan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada penduduk Orang Asli terbabit.

PENDUDUK Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, dekat sini, menunggu giliran menerima suntikan vaksin daripada petugas khas Jabatan Kesihatan Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

“Bagaimanapun, penduduk yang demam dan mengandung akan diberi suntikan kemudian.

“Penduduk Orang Asli di dua kampung berkenaan menerima suntikan vaksin daripada petugas khas Jabatan Kesihatan Gua Musang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Orang Asli dijangkiti demam campak yang selesai menerima rawatan di hospital, akan terus ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Etnobotani, di sini.

“Langkah itu bagi menjaga keselamatan mereka daripada terus dijangkiti penyakit berkenaan.

“Setakat ini, tidak ada lagi kes baharu dikesan,” katanya.

Berita Harian X