Selasa, 2 Julai 2019 | 7:15pm
Bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin hadir untuk bagi keterangan pada Perbicaraan kes SRC International Bekas Perdanan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Saya tidak tandatangan surat pindah dana - Suboh

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Datuk Suboh Md Yassin, tidak pernah terbabit dengan proses pemindahan wang daripada syarikat itu kepada dua anak syarikatnya.

Suboh selaku saksi ke-42 pendakwaan, membuat pengakuan itu selepas bersetuju dengan cadangan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa beliau tidak menandatangani surat bagi arahan pindah wang terbabit.

Pindahan wang berkenaan membabitkan transaksi masing-masing berjumlah RM40 juta daripada akaun SRC kepada akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd (Gandingan Mentari) pada 24 Disember 2014, RM5 juta daripada SRC kepada Gandingan Mentari pada 5 Februari 2015 dan RM5 juta daripada SRC kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 6 Februari 2015.

IPSB adalah syarikat yang ditubuhkan bagi mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi SRC manakala Gandingan Mentari adalah anak syarikat SRC.

Menjawab cadangan Muhammad Shafee pada sesi soal balas, bahawa beliau tidak terbabit dengan proses pemindahan dana itu, Suboh pada mulanya bertanya kembali kepada peguam bela; “Macam mana ini boleh berlaku?”

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan kepada saksi, ia adalah kerana Suboh tidak pernah menandatangani dokumen berkaitan pemindahan dana ini.

Suboh, yang bersetuju dengan cadangan peguam itu, kemudian dicadangkan sekali lagi bahawa beliau sehubungan itu tidak pernah terbabit dengan proses pemindahan dana berkenaan.

Saksi kemudian menjawab, “Ya, saya tidak terbabit.”

Terdahulu, Suboh mengakui tidak pernah menandatangani 17 dokumen RENTAS antara SRC, Gandingan Mentari dan IPSB antara 2014 dan 2015.

Muhammad Shafee, ketika itu, menunjukkan contoh tandatangan Suboh pada dokumen SRC dan Gandingan Mentari, pada paparan projektor slaid.

Beliau kemudian bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa tandatangannya pada dokumen RENTAS mungkin dipalsukan.

Muhammad Shafee: Ada pihak lain yang menandatangani dokumen itu dan bukan anda?

Suboh: Ya.

Muhammad Shafee: Semua dokumen yang diimbas kebanyakannya mengandungi tandatangan anda. Bagaimanapun, anda tidak menandatangani dokumen itu, malah kesemua tandatangan pada 17 dokumen itu adalah sama. Jadi tidak mungkin kesemua tandatangan anda adalah serupa.

Suboh: Ya.

Muhammad Shafee: Bersetuju bahawa anda juga tidak menandatangani dokumen sebenar?

Suboh: Ya.

Muhammad Shafee: Anda juga tidak menandatangani semua dokumen RENTAS?

Suboh: Ya...Jadi siapa yang buat?

Muhammad Shafee: Kita akan sampai ke bahagian itu nanti. Tetapi adakah anda pasti bahawa tandatangan pada dokumen itu bukan kepunyaan anda?

Suboh: Ya.

Suasana dalam mahkamah kemudian bertukar tegang apabila Muhammad Shafee meminta Suboh memberitahu siapa yang menyuruh beliau mengakui bahawa dokumen itu ditandatangani olehnya.

Muhammad Shafee: Siapa yang suruh anda berkata demikian?

Suboh: Saya tidak pernah membuat kenyataan itu.

Muhammad Shafee: Bukankah selepas pilihan raya anda memberitahu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bahawa ini bukan tandatangan saya?

Suboh: Saya tak ingat.

Muhammad Shafee: Ini bukan situasi di mana anda mengatakan ‘tidak ingat’. Kamu kini berada di dalam mahkamah. Sekiranya anda merujuk kepada dokumen, dapatkah anda mengingat semula?

Suboh: Ya.

Muhammad Shafee: Adakah anda mahu merujuk pernyataan itu?

Suboh: Boleh.

Muhammad Shafee kemudian membuat permohonan kepada mahkamah supaya pernyataan yang diberikan Suboh kepada SPRM pada 2018 dikemukakan di mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan permohonan itu mengikut Seksyen 159 (Akta Keterangan 1950).

“Saksi dibenarkan untuk merujuk kepada kenyataan yang diberikannya kepada SPRM, di bawah Seksyen 159 (Akta Keterangan 1950) berhubung pelaporan kenyataan oleh seorang saksi kepada pegawai rakaman,” katanya.

Berita Harian X