Rabu, 3 Julai 2019 | 2:39pm

Lelaki tikam diri sendiri selepas bunuh isteri

MELAKA: Seorang lelaki menikam isterinya hingga mati sebelum menikam diri sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di rumah di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Samnah Mohamed, 55, maut dengan empat kesan tikaman pada badan, manakala suaminya berusia 56 tahun cedera.

Beliau berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kes itu, kira-kira pada jam 10 pagi.

“Siasatan awal mendapati pasangan berkenaan sebelum itu bertengkar sebelum suspek menikam isterinya menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 23 sentimeter.

“Lelaki itu kemudian turut menikam diri sendiri dengan dua kesan tikaman, namun dibawa ke Hospital Melaka dan menerima rawatan di zon merah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.


Anggota polis forensik membawa bahan bukti selepas memeriksa mayat wanita yang ditikam suaminya di Taman Seri Duyong Fasa 2. - NSTP/Khairunisah Lokman

Anggota polis forensik membuat pemeriksaan di lokasi wanita yang maut selepas ditikam suaminya di Taman Seri Duyong Fasa 2. - NSTP/Khairunisah Lokman

Katanya, semakan awal mendapati suspek yang tinggal di rumah teres setingkat itu bersama anak lelaki berusia 25 tahun mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes curi dan positif syabu tahun ini.

“Suspek juga mempunyai kad rawatan psikiatrik di Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Anak lelaki suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Anggota polis mengangkat mayat wanita yang maut selepas ditikam suaminya di Taman Seri Duyong Fasa 2. - NSTP/Khairunisah Lokman
Berita Harian X