Rabu, 3 Julai 2019 | 3:35pm
MAQIS dengan kerjasama AKSEM mematahkan cubaan menyeludup 1,780 kilogram buah jambu air dari Thailand ke negara ini. - Ihsan MAQIS

Cubaan seludup 1,780 kilogram jambu air gagal

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) mematahkan cubaan menyeludup 1,780 kilogram buah jambu air dari Thailand ke negara ini dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8,900.

Hasil pemeriksaan sebuah lori berjaya ditahan kerana membawa buah-buahan terbabit tanpa sebarang dokumen yang sah seperti Import Permit dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

Mengikut Peraturan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) mewajibkan setiap individu yang membawa barangan di bawah kawalan memerlukan permit daripada MAQIS.

Penahanan hasil keluaran pertanian terbabit adalah bertujuan untuk mengawal kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara jika tidak dikawal dengan sebaiknya.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind, berkata jambu air terbabit akan ditahan dan syarikat pengimport bakal dikenakan kompaun.

“Kegagalan mematuhi peraturan import boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Perkompaunan Kesalahan) 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, perbuatan mengimport sesuatu barangan tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Akta 728 diaplikasikan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia sekali gus mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

112 dibaca
Berita Harian X