Rabu, 3 Julai 2019 | 3:38pm
Habibuneesa dilaporkan hilang di Tamil Nadu, India. - NSTP/PRIM

Tukang paip bimbang isteri hilang di India

BEHRANG: Seorang tukang paip tidak menyangka keputusan membenarkan isterinya melawat saudara maranya di India selama seminggu bertukar tragedi apabila dilaporkan hilang di sana.

Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, dipercayai bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kakaknya, Nur Jihan, bersama anak kakaknya berusia empat tahun ke Tamil Nadu pada 24 Jun lalu untuk melawat saudara maranya di Pandaravadai, Panapasam, Tamil Nadu.

Suami Habibuneesa, Mahmud Rahman Shariff, 47, dari Bandar Sri Behrang, berkata lima hari kemudian, Nur Jihan memaklumkan bahawa isterinya hilang dari rumah.

“Nur Jihan dan emak saudaranya menyedari kehilangan isteri saya kira-kira jam 3 pagi waktu India kerana dia tidak berada di dalam bilik. Turut hilang ialah telefon bimbitnya tetapi pasport dan wang tunai masih ada dalam bilik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mahmud Rahman kemudian bertemu dengan Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santhasekaran untuk membantu mencari isterinya yang hilang itu.

Hari ini, beliau dibantu oleh Dr Santharasekaran pergi ke Wisma Putra di Putrajaya untuk meminta kerajaan Malaysia menghubungi kerajaan India bagi memaklumkan kehilangan itu serta membantu mencari Habibuneesa.

Beliau juga membuat laporan polis di Balai Polis Behrang kelmarin.

Mahmud Rahman berkata, beliau dimaklumkan oleh saudara isterinya sebelum kejadian terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali merayau di kawasan tempat tinggal isterinya yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

“Dari situ, saya mengesyaki isteri saya menjadi mangsa penculikan.

“Sehingga hari ini saya belum menerima sebarang berita dari saudara isteri di India setelah laporan polis dibuat di Balai Polis Panapasam.

“Saya bimbang dengan keselamatan isteri di India kerana inilah kali pertama dia balik ke sana untuk melawat saudara mara sebelah bapanya,” katanya.

Menurutnya, Wisma Putra sudah menerima laporan kehilangan isterinya hari ini dan meminta tempoh selama dua hari untuk menghubungi kerajaan India bagi membantu mencari dan mengesan Habibuneesa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mengesahkan pihak polis sudah menerima laporan kehilangan seorang wanita di India.

Katanya, setakat ini pihak polis belum menerima apa-apa maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

980 dibaca
Berita Harian X