Khamis, 4 Julai 2019 | 11:44am
Seramai 151 individu berusia 23 hingga 65 tahun termasuk dua wanita ditahan polis dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di 14 daerah di seluruh Selangor. - Foto ihsan Polis

2 lubuk dadah dikesan, 46 penagih ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 46 individu termasuk 44 warga tempatan di dua kawasan dikenal pasti sebagai ‘lubuk dadah’ sekitar Kajang dan Semenyih, dalam serbuan Ops Sarang semalam.

Hasil serbuan bermula jam 4 pagi hingga 8 malam itu, pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Jabatan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut memberkas seorang wanita Myanmar dan seorang lelaki Palestin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek berusia antara 25 hingga 65 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dikesan giat mendapatkan bekalan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, turut dirampas dadah jenis heroin seberat 60 gram bernilai RM2,100 sebagai bahan bukti siasatan.

“Kita juga berjaya menangkap tujuh orang yang masih dikehendaki polis kerana kesalahan gagal dalam ujian air kencing dan curi kenderaan, masing-masing mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Kesemua tahanan dibawa ke Mahkamah Kajang hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata pihaknya berjaya mengesan lubuk dadah itu hasil maklumat dan kerjasama orang awam.

“Secara keseluruhannya, Ops Sarang mencapai objektif dalam mengurangkan bekalan serta permintaan dadah dan operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita Harian X