Jumaat, 5 Julai 2019 | 4:49pm

Dua pengedar dadah antara ditahan dalam serbuan polis

TELUK INTAN: Dua pengedar dadah antara tujuh individu ditahan polis dalam serbuan berasingan membabitkan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah Hilir Perak, semalam.

Operasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu dilakukan di kawasan Hutan Melintang, Rungkup dan Bagan Datuk yang membabitkan 19 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata tujuh lelaki yang ditahan itu berusia antara 26 hingga 38 tahun.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah sejumlah dadah jenis heroin seberat 673.72 gram, syabu (90.80 gram) dan kanabis (1.25 gram) yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM33,861.

“Dalam serbuan ini polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Hutan Melintang pada jam 2.30 petang dan menemui 18 paket plastik lutsinar dipercayai syabu dengan anggaran berat 83.12 gram di atas meja di bilik premis berkenaan.

“Polis turut menemui bungkusan mengandungi paket plastik kosong dan alat penimbang elektronik di atas meja berkenaan dipercayai digunakan untuk pembungkusan dadah,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, pemeriksaan di bahagian belakang rumah berkenaan berjaya menahan seorang lagi lelaki dan pemeriksaan di sekeliling luar rumah itu menemui satu kotak aluminium berisi 27 paket plastik lustinar berisi bahan disyaki heroin dengan anggaran berat 666.43 gram.

“Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan lampau dan polis percaya dadah yang dirampas itu untuk tujuan aktiviti pengedaran,” katanya.

Beliau berkata, dua lelaki berusia 26 dan 37 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 manakala lima lagi disyaki penagih masing-masing disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) ADB 1952.

Berita Harian X