Jumaat, 5 Julai 2019 | 5:46pm

Pemandu perkhidmatan e-hailing ditahan bersama satu kilogram ekstasi

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu kenderaan perkhidmatan e-hailing bersama 28 paket plastik hitam mengandungi dadah jenis ekstasi seberat satu kilogram bernilai RM10,110 di Jalan Pudu Impian, Cheras, pada 29 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata suspek berusia 34 tahun itu diberkas ketika berada di dalam kereta jenis Proton Saga yang diparkir di tepi jalan berkenaan.

Katanya, dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 2,000 penagih dadah di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan lanjut diteruskan bagi mendapatkan maklumat sumber bekalan dan aktiviti pengedaran terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan kemudian direman selama tujuh hari bermula 30 Jun lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, katanya, pihaknya merampas satu beg kain putih mengandungi 20 paket berisi dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) hasil pemeriksaan sebuah kereta diletakkan berdekatan sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, 25 Jun lalu.

Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya turut menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun yang berada di dalam kereta itu bersama dadah terbabit bernilai RM3,600.

“Hasil siasatan mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Lelaki itu masih dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Dalam kes ini, rampasan dadah dipercayai mampu dibekalkan kepada 400 penagih dadah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, suspek sudah didakwa mengikut Seksyen 117 KPJ di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada Selasa lalu.

200 dibaca
Berita Harian X