Ahad, 7 Julai 2019 | 4:17pm
Suspek yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Bangi berjaya ditahan pihak polis.

'Kantoi' ketika pecah masuk rumah

KAJANG: Seorang lelaki ditahan ketika memecah masuk sebuah rumah di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, dekat sini, hari ini.

Sebelum itu, penduduk melihat suspek berusia 41 tahun itu sedang mengumpil pintu pagar rumah berkenaan, kira-kira jam 8.30 pagi sebelum memanjat bumbung untuk masuk ke premis itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata pihaknya yang mendapat maklumat kemudian terus ke lokasi dan menahan suspek.

“Suspek ditemui bersembunyi dalam bilik kedua rumah terbabit.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau yang mana enam membabitkan kes dadah dan lima pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan turut mendapati suspek positif heroin.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan.

Berita Harian X