Isnin, 8 Julai 2019 | 9:45am

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tolak tangguh bicara kes 1MDB

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas, yang mengemukakan permohonan supaya mahkamah menangguhkan perbicaraan kes itu yang sebelum ini ditetapkan pada 19 Ogos depan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tarikh perbicaraan kekal bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos dan bersambung pada 2 September hingga 14 November.

Terdahulu, Thomas hari ini sekali lagi memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd (SRC International) yang turut dihadapi Najib dan sedang berjalan ketika ini, kemungkinan tidak dapat diselesaikan sehingga 15 Ogos depan.

Sebelum ini, Thomas pernah memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai hampir 25 saksi lagi untuk dipanggil memberi keterangan.

Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.

Ahmad Akram ketika ditemui di luar mahkamah berkata, permohonan ditolak kerana mahkamah tidak boleh menangguhkan perbicaraan kes 1MDB.

Kes itu berkaitan 25 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dihadapi Najib.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Berita Harian X