Isnin, 8 Julai 2019 | 3:28pm
Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Suboh tidak tahu kenapa perlu keluar Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin, tidak mengetahui alasan mengapa beliau diminta melarikan diri oleh Nik Faisal Ariff Kamil ke Bangkok pada 2015 dan 2018.

Suboh, 68, ketika memberi keterangan pada prosiding perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, mendedahkan pada 2015 beliau hanya menerima panggilan telefon daripada Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutiif SRC) mengarahkannya melarikan diri ke Bangkok, Thailand.

Saksi ke-42 pendakwaan itu berkata, Nik Faisal bagaimanapun tidak menyatakan alasannya yang mengarahkan beliau untuk melarikan diri.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee sama ada beliau bertemu sendiri dengan Nik Faisal, Suboh berkata: “Tidak, melalui panggilan telefon.”

Muhammad Shafee: Bila akan diarahkan oleh Nik Faisal untuk meninggalkan Malaysia?

Suboh: Sekitar 2015.

Muhammad Shafee: Sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum?

Suboh: Selepas

Muhammad Shafee: Berapa kali beliau meminta anda untuk meninggalkan Malaysia?

Suboh: Saya tidak ingat

Muhammad Shafee: Lebih daripada sekali?

Suboh: Mungkin dan juga pada 2018

Muhammad Shafee: Anda ada bertanya kepada Nik Faisal mengapa perlu meninggalkan Malaysia? Apa yang sudah anda lakukan?

Suboh: Saya tidak bertanya kepada beliau

Muhammad Shafee: Anda tak syak kenapa anda diminta pergi?

Suboh: Saya tak tahu

Muhammad Shafee: Mesti ada sebab kenapa anda diminta untuk pergi?

Suboh: Saya pun keliru

Muhammad Shafee: Adakah anda melakukan kesalahan?

Suboh: Saya tak rasa saya buat salah

Muhammad Shafee: Jadi kenapa anda pergi meninggalkan Malaysia?

Suboh: Sebab Nik Faisal suruh.

Muhammad Shafee: Adakah beliau mencadangkan anda berada dalam siasatan?

Suboh: Tidak.

Dalam keterangannya pada perbicaraan yang masuk hari ke-33, Suboh berkata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau pergi ke Indonesia selama beberapa minggu.

Menjawab soalan Muhammad Shafee kenapa beliau memilih untuk meninggalkan negara selepas PRU, Suboh berkata: “Saya rasa saya perlu berehat.”

Muhammad Shafee: Kenapa anda perlu berehat?

Suboh: Selepas menjalankan tanggungjawab (mengundi), saya pergi.

Muhammad Shafee: Berapa lama?

Suboh: Beberapa minggu.

Bagaimanapun Suboh, berkata ketika diminta oleh Nik Faisal untuk meninggalkan Malaysia buat kali kedua pada tahun 2018, beliau enggan mengikuti arahan itu.

“Ketika itu saya sudah berada di Indonesia dan beliau meminta saya untuk pergi ke Bangkok sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Suboh bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram, bahawa SRC dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd (Gandingan Mentari) tidak pernah membuat laporan polis berhubung sebarang penipuan dilakukan terhadap syarikat itu.

Suboh bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa terdapat aliran keluar masuk dana membabitkan jutaan ringgit, bukan saja membabitkan pindahan wang di antara SRC dan Gandingan Mentari, malah syarikat Putra Perdana Construction Sdn Bhd di antara 2004 dan 2005.

Disebabkan oleh aliran keluar masuk dana membabitkan jumlah yang besar, Sithambaram bertanyakan saksi ke-42 pendakwaan itu sama ada SRC pernah membuat laporan polis bahawa wang milik syarikat dicuri.

Suboh menjawab, "Tidak".

Sithambaram: Adakah kamu tahu sama ada SRC atau Gandingan Mentari ada mengambil tindakan undang-undang terhadap bank kerana pindahan wang secara salah?

Suboh: Setahu saya tidak.

Sithambaram: Daripada transaksi yang ditunjukkan di sini, adakah kamu lihat sebarang dana yang dimasukkan dalam akaun Nik Faisal?

Suboh: Tidak.

Sithambaram: Ada sebarang dana dimasukkan dalam akaun kamu?

Suboh: Tidak.

Minggu lalu, peguam bela cuba menunjukkan bahawa tandatangan Suboh dipalsukan pada dokumen arahan pindahan wang SRC kepada beberapa buah syarikat, dengan menggunakan teknik pertindihan imej pada slaid projektor.

Suboh pada prosiding itu berkata, terdapat kemungkinan berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, pada hari ini, menggunakan teknik sama, Sithambaram berjaya menunjukkan bahawa kemungkinan tandatangan Nik Faisal turut dipalsukan kerana kesemuanya nampak sama dari bentuk saiz dan struktur.

Saksi kemudian ditanya mengenai surat dokumen arahan pindahan wang itu yang menunjukkan bahawa dokumen mengandungi tandatangan Suboh dan Nik Faisal, disahkan oleh Ketua Pegawai Kewangan SRC, See Yoke Peng.

Merujuk kepada dokumen terbabit , Sithambaram mencadangkan bahawa Yoke Peng sudah meneliti semua tandatangan itu sebelum disahkan pihak bank dan wang dipindahkan daripada akaun SRC.

Suboh bersetuju dengan cadangan itu. Terdahulu, di awal prosiding, pihak pembelaan didakwa mengeluarkan 17 slaid dari mahkamah Rabu lalu yang berkemungkinan mengganggu bukti.

Sithambaram menjelaskan, walaupun dokumen itu penting bagi perbicaraan, slaid berkenaan sudah tiada di mahkamah semalam.

Muhammad Shafee menjelaskan slaid itu dibawa keluar kerana pihak pembelaan mahu membuat salinan.

Peguam Negara, Tommy Thomas, bangun dan berkata, mahkamah adalah penjaga sebenar barang kes dan sebarang cubaan untuk membawa keluar hendaklah dilakukan dengan telus.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta pihak pembelaan mendapatkan kebenaran dulu sebelum berbuat demikian.

Berita Harian X