Selasa, 9 Julai 2019 | 9:16am
Anggota APM Kulim memotong dahan pokok yang menimpa bumbung rumah penduduk akibat kejadian ribut di dua kampung di daerah Kulim. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kulim memotong dahan pokok yang menimpa bumbung rumah penduduk akibat kejadian ribut di dua kampung di daerah Kulim. - Foto ihsan APM

14 rumah rosak ribut di Kulim

Gambar Ihsan APM

KULIM: Sebanyak 14 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan lebat di daerah ini, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Mohd Fadhil Fahmi Zaini, berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, dua kampung paling terjejas dengan ada bumbung rumah diterbangkan angin selain pokok tumbang.

Katanya, kejadian menyebabkan 11 rumah di Kampung Lobak dan tiga di Kampung Lubuk Gajah, rosak.

“Kita menerima panggilan berhubung rumah rosak sekitar jam 5.02 petang dan sepasukan enam anggota kami tiba di lokasi pada jam 7 malam.

“Setakat ini kami sudah pun melakukan kerja pembersihan di tujuh rumah yang terbabit dalam kejadian ribut ini dan akan melakukan pembersihan secara berperingkat di rumah lain yang turut terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bumbung rumah penduduk yang bocor akibat dihempap pokok akibat kejadian ribut di dua kampung di daerah Kulim. - Foto ihsan APM
Bumbung rumah penduduk yang bocor akibat dihempap pokok akibat kejadian ribut di dua kampung di daerah Kulim. - Foto ihsan APM

Mohd Fadhil Fahmi, berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Hujan lebat melanda daerah ini hanya setengah jam sahaja iaitu antara jam 5 petang hingga 5.30 petang, namun memberi kesan buruk selepas angin kencang turut berlaku.

“Kesan angin kencang itu menyebabkan pokok tumbang dan kita terpaksa menangguhkan tugas pembersihan disebabkan wayar kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang belum dipotong yang boleh mengancam keselamatan anggota.

“Operasi akan disambung semula hari ini,” katanya.

Berita Harian X