Selasa, 9 Julai 2019 | 4:58pm

Pembantu rumah dakwa dicabul EXCO Perak

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dicabul oleh majikannya yang juga seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Mangsa yang berusia sekitar 20-an membuat laporan polis Isnin lalu selepas dicabul majikannya berusia sekitar 40-an sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Pada masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum tindakan susulan diambil termasuk proses menahan EXCO terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mangsa termasuk merakam percakapannya.

“Setakat ini, saya mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan termasuk proses mengumpul segala maklumat sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.

“Wanita terbabit (mangsa) kini berada dalam pengawasan polis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes itu sehingga siasatan dilengkapkan.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, turut menganggap dakwaan berkenaan sebagai sesuatu yang serius dan menyerahkan siasatan selanjutnya kepada pihak polis.

“Parti melihat perkara ini sebagai sesuatu yang membimbangkan dan kami berpendapat bahawa tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Sehubungan itu, kami menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya.

Berita Harian X