Selasa, 9 Julai 2019 | 7:42pm
FOTO Hiasan.

EXCO Perak nafi tuduhan cabul pembantu rumah

IPOH: EXCO Kerajaan Negeri Perak yang dikaitkan dengan dakwaan mencabul pembantu rumahnya, menafikan melakukan perbuatan itu.

Dalam kenyataan ringkasnya mengulas dakwaan itu, EXCO berkenaan berkata, beliau tidak pernah melakukan perbuatan sebagaimana didakwa dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan fitnah berkenaan.

“Biarlah polis menjalankan siasatan yang sepatutnya dan saya akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Saya mempercayai bahawa polis bersikap profesional dan telus dalam siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp kepada media Perak di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dicabul oleh majikannya yang juga seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Mangsa yang berusia sekitar 20-an membuat laporan polis Isnin lalu selepas dicabul majikannya berusia sekitar 40-an, sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum tindakan susulan diambil termasuk proses menahan EXCO terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mangsa termasuk merakam percakapannya.

1375 dibaca
Berita Harian X