Rabu, 10 Julai 2019 | 2:04pm
KETUA Polis Perak, Datuk Razarudin Husain

Mangsa dakwa dirogol EXCO ditempatkan di lokasi selamat

IPOH: Pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa dirogol majikannya yang juga EXCO Kerajaan Negeri Perak kini ditempatkan di lokasi selamat.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata mangsa yang berusia 23 tahun itu akan ditempatkan di lokasi berkenaan sehingga kertas siasatan mengenainya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.

“Polis sudah menjalankan siasatan dengan merakam percakapan mangsa dan menghantar mangsa ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

“Berdasarkan bukti awal siasatan, pihak polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razaruddin berkata, polis turut merakam percakapan beberapa saksi berkaitan termasuk ahli keluarga EXCO berkenaan.

“Bagi melengkapkan siasatan, polis membuat tangkapan terhadap EXCO berkenaan semalam dan juga membuat pemeriksaan doktor terhadap suspek bagi tujuan siasatan.

“Suspek kemudiannya telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan,” katanya.

Media semalam melaporkan, seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dicabul oleh majikannya yang juga seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Mangsa yang berusia sekitar 20-an membuat laporan polis Isnin lalu selepas dicabul majikannya berusia sekitar 40-an sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Berita Harian X