Khamis, 11 Julai 2019 | 5:05pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.- Foto Muhaizan Yahya

EXCO Perak perlu cuti, had tugas jika siasatan panjang - MB

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan dakwaan merogol pembantu rumahnya wajar bercuti atau dihadkan tugas jika siasatan polis mengambil masa yang panjang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata tindakan itu perlu bagi memastikan tidak wujud unsur percubaan atau kemungkinan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak itu, mengganggu siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, tiada keperluan untuk Choo Kiong bercuti dan beliau bebas menjalankan tugas kerana proses pendakwaan belum berlaku.

“Sekarang beliau tidak dikenakan sebarang pendakwaan jenayah, sekadar laporan dan siasatan polis, maka saya fikir beliau boleh jalankan tugas seperti biasa.

“Namun, saya fikir jika siasatan ini berlanjutan dalam satu jangka masa yang panjang, mungkin boleh dinasihatkan untuk beliau mengambil cuti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Choo Kiong perlu bercuti sementara berdepan siasatan polis berhubung dakwaan merogol pembantu rumahnya.

Selain bercuti, Ahmad Faizal berkata, tindakan lain yang boleh diambil adalah mengehadkan tugas Choo Kiong jika proses siasatan mengambil sedikit masa.

“Kita tak nak dia ganggu proses siasatan, maka untuk seorang yang ada kuasa membuat keputusan dalam mesyuarat tertentu seperti mesyuarat EXCO, mesyuarat lembaga perumahan dan sebagainya, mungkin kita hadkan, beliau tak perlu hadir (mesyuarat),” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu tidak menyatakan apakah tempoh siasatan yang boleh dikatakan sebagai lama untuk arahan bercuti itu dikeluarkan kepada Choo Kiong.

Ditanya sama ada arahan bercuti itu juga akan dikeluarkan jika Choo Kiong didakwa di mahkamah, Ahmad Faizal akan berbincang perkara itu dengan ADUN berkenaan, selain mendapatkan nasihat kepimpinan parti sebelum membuat keputusan.

Berhubung penangguhan Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) Perak yang dijadual hari ini, Ahmad Faizal mengesahkan ia kerana siasatan polis itu.

“Angkat sumpah ditangguh kerana ada siasatan ke atas EXCO saya, maka tak sesuai jika diteruskan kerana beliau juga sepatutnya turut sama mengangkat sumpah.

“Mesyuarat EXCO (semalam) pula kita tangguh kerana saya perlu berada di Kuala Lumpur, ada mesyuarat Lembaga Pengampunan bersama Sultan Perak,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Semalam, Choo Kiong dalam satu kenyataan menafikan dakwaan dirinya merogol pembantu rumah serta menyifatkannya sebagai tuduhan palsu dan tidak berasas.

Selasa lalu, media melaporkan seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun membuat laporan polis Isnin lalu, mendakwa dicabul majikannya yang juga EXCO Kerajaan Perak sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dilaporkan berkata, pembantu rumah warga Indonesia itu kini ditempatkan di lokasi selamat sehinggalah kertas siasatan mengenainya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.

Berita Harian X