Jumaat, 12 Julai 2019 | 12:46am
KETUA Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof. NSTP/Email

Resit punya pasal...

GOMBAK: Hanya kerana tidak berpuas hati diberi resit tulisan tangan, seorang lelaki bergaduh dengan pekerja sebuah kedai arak dalam kejadian di Batu Caves, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata sebelum kejadian, lelaki itu bersama isterinya berusia 38 tahun ke premis itu untuk membeli minuman keras, kira-kira jam 8.30 malam.

Katanya, wanita terbabit dikatakan meminta resit cetakan komputer, namun atas dakwaan sebab teknikal pekerja terbabit memberikan resit tulisan tangan.

“Situasi kemudian menjadi kecoh apabila wanita terbabit mendakwa ditampar oleh seorang lelaki tidak dikenali di pipi kiri.

“Suami wanita itu kemudian meminta bantuan orang awam yang lalu-lalang di kawasan terbabit menyebabkan berlaku pergaduhan antara dia dengan pekerja premis minuman keras berkenaan.

“Punca kejadian adalah disebabkan wanita itu tidak berpuas hati kerana tidak menerima resit cetakan komputer,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, bertindak atas maklumat pihaknya menahan lapan lelaki warga India dan dua lelaki tempatan, termasuk suami wanita terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati lelaki itu memiliki tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod dadah selain masih dikehendaki polis berkaitan satu kes jenayah pada 2017.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan semua tangkapan direman sehingga hari ini. Permohonan untuk lanjutan reman akan dipohon hari ini di Mahkamah Selayang,” katanya.

2610 dibaca
Berita Harian X