Jumaat, 12 Julai 2019 | 12:58pm
EXCO DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong menjalankan tugas seperti biasa di pejabatnya. - Foto Effendy Rashid

Dakwaan kes rogol: Choo Kiong hadir bertugas seperti biasa

IPOH: EXCO DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong yang disiasat atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia, kembali menjalankan tugas seperti biasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak itu tiba di pejabatnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak di sini pada kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Yang turut hadir di pejabatnya ialah EXCO kerajaan negeri yang lain termasuk Dr Abdul Aziz Bari, Wong May Ing serta Howard Lee, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam dan peguam, Leong Cheok Keng.

Difahamkan, jadual kerja ADUN Tronoh itu hari ini dipenuhi dengan mesyuarat di pejabatnya yang tertangguh sejak beberapa hari lalu.

“Kenapa tanya saya tidak boleh kerja? Saya masih EXCO. Sesiapapun boleh melontarkan tuduhan kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya.

Lebih 20 pengamal media terdiri daripada wartawan dan jurukamera mula berkumpul di pejabat Choo Kiong seawal 8 pagi tadi.

Choo Kiong berkata, sekiranya siasatan mengambil tempoh terlalu lama, beliau bersedia untuk direhatkan daripada tugas buat sementara waktu.

Katanya, beliau percaya dengan kepakaran polis untuk menyiasat tuduhan berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

"Dalam hal ini saya menafikan sekeras-kerasnya, saya tidak pernah melakukan apa-apa dan tunggulah siasatan keluar sekiranya bersalah atau tidak bersalah. Masa akan membuktikan segala-galanya," katanya.

Mengenai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO Perak yang ditangguhkan kerana siasatan kes berkenaan, Choo Kiong berkata, ia bukan satu ketetapan kerana tempoh lantikan EXCO adalah sepenggal.

“Setahu saya sebenarnya tidak perlu mengangkat sumpah setiap tahun jika mengikut peraturan, tetapi kerajaan negeri boleh melakukannya setiap tahun,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, Choo Kiong boleh dinasihatkan untuk bercuti atau dihadkan tugas sekiranya siasatan polis terhadapnya mengambil masa yang lama bagi memudahkan proses itu.

Selasa lalu, media melaporkan pembantu rumah berusia 23 tahun membuat laporan di Balai Polis Jelapang, mendakwa dicabul dan dirogol majikannya yang juga EXCO Perak sehari sebelum itu di sebuah kediaman di Meru, Jelapang.

Mangsa kini ditempatkan di lokasi selamat sehinggalah kertas siasatan mengenainya dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya. - BERNAMA

Berita Harian X