Jumaat, 12 Julai 2019 | 5:49pm

MAQIS rampas daging sejuk beku, harumanis

GEORGETOWN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri menahan seorang wanita warga Australia kerana membawa masuk daging babi sejuk beku di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, semalam.

MAQIS negeri dalam satu kenyataan, berkata pemeriksaan ke atas penumpang wanita berusia 58 tahun itu mendapati dia melakukan kesalahan dengan membawa daging babi yang dilarang kerajaan berikutan penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF).

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, penumpang wanita itu membawa karkas dipercayai daging kambing seberat sembilan kilogram (kg), daging lembu (4.22kg) dan daging babi (dua kg) selain keju (empat kg) dianggarkan bernilai RM665.

“Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan menerusi laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke negara ini dan merosakkan industri penternakan negara.

“Antara produk berisiko dalam penularan virus ASF adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta daging babi proses seperti babi salai dan sosej.

“Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Dalam kes berasingan, MAQIS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas mangga Harumanis dibawa masuk penumpang dari Indonesia tanpa sebarang dokumen sah, seperti Import Permit dan Sijil Fitosanitasi.

Hasil pemeriksaan dilakukan pada jam 11 pagi tadi, mendapati penumpang terbabit membawa harumanis seberat 14.8kg, dianggarkan bernilai RM364.08.

“Kita melarang pengimportan ini bagi menghalang risiko kemasukan serangga perosak seperti kumbang pengorek mangga dan merosakkan industri mangga negara.

“Selain daripada larangan pengimportan, kemasukan mangga oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang sama sekali.

“MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang diimport ke dalam negara ini bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan,” katanya.

301 dibaca
Berita Harian X