Sabtu, 13 Julai 2019 | 4:23pm
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad. - NSTP/Saddam Yusoff

PDRM umum pertukaran 20 pegawai kanan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan 20 pegawai kanannya berkuat kuasa pada 13 Ogos depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, berkata antara pertukaran itu membabitkan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Rosly Abas, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman.

Beliau berkata Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azizan Abu Taat pula akan memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersil Bukit Aman manakala Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Jalil Hassan dilantik Ketua Polis Pahang.

Katanya, jawatan ditinggalkan Jalil akan diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim manakala Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dengan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) kekal dengan jawatannya namun akan dinaikkan pangkat dengan memangku Deputi Komisioner Polis (DCP).

“Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan, Asisten Komisioner (ACP), Abdullah Mohammad Piah, dilantik menggantikan Azmi dengan memangku pangkat SAC.

“Ketua Cawangan Agensi Penguatkuasaan (Bahagian Perisikan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, SAC Ibrahim Saad ditukar ke Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

“Timbalan Ketua Cawangan Agensi Penguatkuasaan, Bahagian Perisikan SPRM Putrajaya, ACP Zainudin Ahmad pula akan menggantikan Ibrahim dengan pangkat baharu SAC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Asmawati berkata Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan), Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Che Zakaria Othman ditukar Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat SAC.

“Pertukaran lain membabitkan Timbalan Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Ketenteraman Awam (KDNKA), Kinarut Sabah, ACP A Mancha dilantik Komander Briged Sabah PGA KDNKA Kinarut Sabah dengan pangkat SAC.

“Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ruslan Khalid pula akan berpindah ke Bukit Aman dengan memegang jawatan Ketua Urus Setia Pejabat KPN (Pentadbiran), Urusetia Pejabat KPN, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC,” katanya.

Berita Harian X