Ahad, 14 Julai 2019 | 10:22pm

Buruh maut motosikal langgar lembu

JERTIH: Seorang buruh maut apabila motosikal yang ditunggangi merempuh lembu di jalan Kampung Pak Kiang, Besut, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata dalam kejadian pada jam 3.05 pagi, Muhammad Afiq Rosmadi, 21, berasal dari Kampung Pengkalan Teras Keluang datang dari arah Kampung Pak Kiang menghala ke Gelam Mas.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 terlanggar lembu berada di atas jalan menyebabkan mangsa hilang kawalan.

“Motosikal ditunggangi mangsa terbabas lalu masuk ke dalam longkang di kiri jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dibawa ke Hospital Besut namun meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, lokasi kejadian sememangnya gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Berita Harian X