Isnin, 15 Julai 2019 | 3:45pm
BEKAS Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz. NSTP/Hafiz Sohaimi
BEKAS Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz. NSTP/Hafiz Sohaimi

Video lucah: Haziq, lima individu direman 6 hari

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, bersama lima individu yang ditahan dalam serbuan besar-besaran di sekitar Lembah Klang, malam tadi, direman selama enam hari bermula hari ini.

Penahanan reman itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, namun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Katanya, semua individu terbabit direman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

Difahamkan, kesemua individu terbabit termasuk Haziq dibawa ke Mahkamah Jalan Duta pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.

Terdahulu, Haziq, 27 ditahan bersama dua lagi individu berusia 25 dan 38 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya, sekitar jam 9 malam tadi.

Difahamkan penahanan ketiga-tiga mereka dipercayai susulan daripada siasatan berhubung penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis yang sebelum ini diakui oleh Haziq sendiri sebagai salah seorang individu yang dirakam.

Dalam tangkapan itu polis turut merampas lima telefon bimbit serta kad SIM.

Semasa tangkapan dibuat, pihak polis turut menahan seorang lagi ahli parti PKR, berusia 36 tahun di sebuah restoran di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, di sini, serta merampas telefon bimbit sebelum dibawa ke kediamannya di sebuah apartment di Taman Bukit Subang, Bandar Sunway, untuk pemeriksaan lanjut.

Dipercayai, rumah salah seorang individu yang ditahan itu di Alor Setar, Kedah itu menjadi lokasi di mana rakaman video pengakuan Haziq dirakamkan.

Pasukan polis terdiri dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, turut menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun di USJ 1, Subang Jaya, dan merampas enam telefon bimbit pelbagai model dan kad SIM

Berita Harian X