Selasa, 16 Julai 2019 | 12:44pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Mahkamah akan tentukan identiti individu dalam video lucah

KUALA LUMPUR: Hanya mahkamah yang akan menentukan individu dalam rakaman video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed.

Sambil menjelaskan siasatan masih diteruskan, beliau menegaskan polis tidak akan mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenainya.

Katanya, laporan hasil siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Hanya mahkamah yang akan tentukan betul tak betul siapa dia (individu dalam video). Kita terima laporan daripada Cyber Security Malaysia (CSM). Kita tak akan dedahkannya. Kita akan bincang dengan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di Majlis pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC 2019 di pusat membeli-belah Nu Sentral di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Kanan VTREC, Mohd Yusof Idris; Timbalan Ketua Pengarah (Penguat Kuasa dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Azimah Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia, Anthony Lee.

Sebelum ini, polis meminta bantuan CSM untuk menjalankan analisis teknikal dan forensik video yang tersebar di media sosial, yang dikaitkan dengan seorang menteri. Agensi itu memiliki kepakaran dalam forensik digital termasuk audio, video dan multimedia.

Huzir berkata, siasatan terhadap enam individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan kelmarin, masih berjalan.

Setakat ini, katanya, tiada tangkapan baharu dan hanya akan berbuat demikian jika ada keperluan serta bergantung kepada hasil siasatan kelak.

“Jika kita dapat maklumat baharu, kalau perlu buat tangkapan, kita akan buat. Setakat ini, kita tak boleh dedahkan lagi sebab baru hari pertama (reman) semalam. Hari ini hari kedua dan saya belum dapat maklumat daripada pasukan saya yang menyiasat kes ini,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan penemuan satu lokasi yang dijadikan markas pertemuan enam individu terbabit untuk berbincang bagi menyebarkan video itu, Huzir berkata ia di luar pengetahuan pihaknya.

“Ia maklumat baharu. Kita akan tengok nanti,” katanya.

Semalam, Haziq bersama lima yang lain direman enam hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis yang sebelum ini diakui oleh Haziq sendiri sebagai seorang daripada individu yang dirakam.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B adalah atas kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan dengan luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan jika sabit kesalahan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X