Rabu, 17 Julai 2019 | 6:47am
- Gambar hiasan/www.petronasgas.com/

Loji pemprosesan gas terbakar dipanah petir

DUNGUN: Kakitangan PETRONAS yang bertugas di Loji Pemprosesan Gas GPP 6 dekat Santong, Paka, di sini cemas seketika selepas loji terbabit terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, menara penyulingan (Distillation Tower) yang mengandungi gas itu terbakar selepas dipanah petir.

Kebakaran itu menyebabkan pihak pengurusan terpaksa melakukan kerja-kerja pengosongan gas yang berada di dalam menara penyulingan berkenaan.

Sehingga kini, kerja-kerja memadamkan kebakaran masih dilakukan anggota dari Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka yang dibantu Bomba PETRONAS.

Difahamkan, kebakaran itu tidak membabitkan kecederaan kepada kakitangan yang bertugas.

Kejadian ribut petir yang berlaku di kawasan Paka sejak petang semalam dipercayai menjadi punca sehingga alat penahan petir yang dipasang pada menara penyulingan itu tidak mampu menahan kekuatan petir berkenaan.

Bagaimanapun, usaha menghubungi Ketua BBP Paka, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rezuan Adnan untuk pengesahan berhubung kejadian itu gagal kerana beliau dikatakan bersama anggotanya sedang melakukan kerja-kerja pemadaman api.

Penduduk dari Kampung Santong, Nik Hamzah Nik Man, 56, berkata, kejadian ribut petir yang menakutkan itu berlaku kira-kira jam 7 malam.

Menurutnya, dia dan ahli keluarganya tidak keluar dari rumah kerana bimbang melihat cahaya kilat yang menyambar.

“Saya mendengar bunyi siren bomba yang menuju laju memasuki loji terbabit kira-kira jam 8 malam sebelum melihat api besar di atas menara setinggi 50 meter itu.

“Sebaik melihat kejadian itu, saya bimbang ia akan merebak ke penempatan penduduk memandangkan loji itu adalah tempat memproses gas terbesar.

“Namun, saya bersyukur apabila kebakaran tidak merebak ke penempatan penduduk selain tidak membabitkan kecederaan kepada kakitangan loji itu,” katanya.

Berita Harian X