Rabu, 17 Julai 2019 | 10:06am
Peguam yang mewakili Haziq Abdullah Abdul Aziz, Ramesh Sivakumar (tengah) ketika sidang media selepas hadir pada permohonan semak jenayah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lima lagi yang direman bagi membantu siasatan dalam kes video songsang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Haziq bersama lima yang lain mohon semakan reman di mahkamah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz serta lima individu dibawa ke Mahkamah Tinggi, di sini untuk prosiding permohonan semakan perintah reman yang dikenakan terhadap mereka.

Kesemua mereka dibawa masuk ke mahkamah dengan tangan bergari, pada jam 9.35 pagi.

Turut dilihat hadir di mahkamah adalah Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid.

Ketika ini, prosiding masih berjalan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Keenam-enam mereka yang ditahan pada Ahad lalu direman selama enam hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 377B ialah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan luar tabii yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan, manakala Seksyen 233 ialah penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan denda maksimum

Terdahulu, Haziq, 27, bersama dua lagi individu berusia 25 dan 38 tahun ditahan di sebuah restoran di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Difahamkan penahanan ketiga-tiga mereka dipercayai susulan daripada siasatan berhubung penghasilan dan penyebaran video lucah hubungan sejenis yang sebelum ini diakui oleh Haziq sendiri sebagai salah seorang individu yang dirakam.

Ketika tangkapan dibuat, polis turut menahan seorang lagi ahli PKR, berusia 36 tahun di sebuah restoran di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang, di sini, serta merampas telefon bimbit sebelum dibawa ke kediamannya di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Subang, Bandar Sunway, untuk pemeriksaan lanjut.

Ini adalah kali kedua Haziq ditahan selepas kali pertama pada 14 Jun lalu ketika berada di Balai Pelepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 14 Jun, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis sehari kemudian.

Semalam, tiga lagi individu termasuk Pengerusi PKR sebuah negeri ditahan berhubung kes sama.

Pemimpin politik negeri berusia 37 tahun itu bersama dua rakannya ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah rumah teres di Pasir Gudang, Johor.

Penangkapan ketiga-tiga suspek berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan kes video lucah itu setakat ini adalah sembilan orang.

GAMBAR fail, bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan dengan jaminan polis di hadapan IPD Dang Wangi. pada 15 Jun lalu. - Foto Hafiz Sohaimi

Berita Harian X