Rabu, 17 Julai 2019 | 12:30pm
Seorang wanita maut selepas terperosok di bawah kereta dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Rembia, di sini, petang semalam. - Foto ihsan Pembaca

Maut terperosok bawah kereta

ALOR GAJAH: Seorang wanita maut selepas terperosok di bawah kereta dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Rembia, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa Megy Ismawi, 55 maut di lokasi kejadian, manakala suaminya Abdul Rahim Alias, 51, yang menunggang motosikal cedera di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya, berkata sebelum kemalangan mangsa bersama suaminya yang menaiki motosikal Yamaha dalam perjalanan dari arah Rembia menghala ke Lendu, Masjid Tanah.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa dirempuh sebuah Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 35 tahun dari arah belakang.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal tercampak ke cermin hadapan manakala mangsa terperosok ke bawah kereta,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat, manakala suaminya dirawat di Hospital Melaka.

“Kedua-dua kenderaan yang terbabit kemalangan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Hassan Basri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X