Rabu, 17 Julai 2019 | 6:32pm
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto Danial Saad
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto Danial Saad

Kes video lucah: Tangkapan susulan bergantung kepada maklumat - Pengarah JSJ

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kes pembikinan dan penyebaran video lucah kini sedang dikemaskini berdasarkan segala bukti dan maklumat terbaru yang diperoleh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pada masa ini Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman sedang menyiasat lapan individu yang direkodkan berada dalam tahanan reman polis.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan sekiranya wujud keperluan berdasarkan maklumat baru yang muncul.

“Semua keperluan tangkapan baru bergantung kepada segala maklumat siasatan polis sama ada dari mereka yang ditahan atau pihak luar.

“Pada masa ini, ada antara mereka yang ditahan reman ini tidak mengenali atau mengetahui beberapa individu lain yang berkemungkinan turut terbabit dalam kes yang sama, namun siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata sebaik dilengkapkan, kertas siasatan akan dihantar semula ke pejabat Peguam Negara untuk kali ketiga selepas pihak polis berpendapat siasatan sudah diselesaikan.

“Segala keputusan selepas itu bergantung kepada pejabat Peguam Negara, sama ada mereka ingin mengambil tindakan pendakwaan atau mengembalikannya kepada pihak polis untuk melengkapkan lagi beberapa siasatan yang dirasakan mempunyai kaitan,” katanya.

Huzir berkata pada masa ini pihaknya yakin kertas siasatan berkenaan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara sebelum penghujung Julai ini.

Untuk rekod, kini lapan individu termasuk bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang Pengerusi PKR negeri, antara yang direman berhubung siasatan berkenaan.

Haziq ditahan pada malam 14 Julai lalu bersama lima lagi individu di sekitar Lembah Klang, manakala Pengerusi PKR negeri itu ditahan bersama dua lagi yang lain di sebuah kediaman di Bandar Seri Alam, Masai, Johor, petang semalam.

Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka dibebaskan selepas keterangan diambil.

Berita Harian X