Khamis, 18 Julai 2019 | 1:48pm

Siasatan polis bebas - KPN

KUALA LUMPUR: Tidak ada campur tangan daripada mana-mana pihak dalam siasatan polis terhadap video lucah yang dikaitkan dengan menteri.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata siasatan kes itu adalah bebas.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini, langsung tiada gangguan dari sesiapa pun, serta tiada tekanan diberikan kepada saya.

“Polis bebas untuk menjalankan siasatan, dan siasatan itu dijalankan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP), tiada tekanan langsung,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Menjawab soalan mengenai ketulenan video terbabit, Abdul Hamid berkata satu kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.

Beliau juga menafikan kenyataan Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak yang mendakwa Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, tidak diberikan makanan hampir 24 jam ketika ditahan.

Kelmarin, Farhash Wafa ditahan bersama dua individu lain di sekitar Johor Bahru kira-kira jam 2.30 petang.

Pada Ahad lalu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dalam video berkenaan turut ditahan bersama lima lagi lelaki di sekitar Lembah Klang.

Haziq direman enam hari manakala lima yang lain empat hari.

KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan) memperkenalkan Pegawai-Pegawai Kanan ATM pada lawatan rasmi pertama beliau ke Wisma Pertahanan, MINDEF Jalan Padang Tembak. - Foto Aswadi Alias
KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan) memperkenalkan Pegawai-Pegawai Kanan ATM pada lawatan rasmi pertama beliau ke Wisma Pertahanan, MINDEF Jalan Padang Tembak. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X