Khamis, 18 Julai 2019 | 3:43pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan membabitkan penyelewengan dana SRC International. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mahkamah tolak penangguhan bicara 1MDB

KUALA LUMPUR: Permohonan penangguhan perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ditolak Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk menangguh perbicaraan 1MDB atas alasan perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC) kini masih berjalan.

Permohonan itu adalah kali ketiga ditolak mahkamah selepas kali kedua pada 8 Julai lalu.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 19 Ogos hingga 29 Ogos depan yang kemudian akan bersambung sepanjang September dan Oktober hingga 14 November.

Sequerah dalam penghakimannya, berkata walaupun tertuduh (Najib) didakwa hampir setahun, tetapi perbicaraan masih belum dijalankan.

Beliau berkata, penangguhan perbicaraan boleh dipertimbangkan sekiranya ada dua alasan iaitu isu ketiadaan saksi atau sebab lain yang munasabah.

Tambahnya, 1MDB adalah kes yang mempunyai kepentingan awam dan perlu dijalankan tanpa kelewatan dan penangguhan.

“Alasan bahawa perbicaraan kes SRC sedang berlangsung bukanlah satu alasan munasabah untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB.

“Mahkamah bagaimanapun akan lebih fleksibel sekiranya terdapat permohonan kedua-dua pihak untuk melapangkan perbicaraan (1MDB) bagi memberi laluan kepada SRC,” katanya.

Terdahulu Thomas dalam afidavit difailkan Julai lalu, berkata penangguhan perbicaraan kes 1MDB kerana memberi ruang kepada perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat SRC berjumlah RM42 juta yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, perbicaraan kes SRC bermula 3 April lalu dan berterusan sehingga 15 Ogos ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurutnya, perbicaraan SRC sedang berjalan manakala tarikh bicara 1MDB seperti ditetapkan sebelum ini terlalu dekat.

“Bagi tujuan perancangan perbicaraan, adalah mustahil untuk perbicaraan kes SRC dapat ditamatkan pada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada 16 Ogos ini. Maka wajarlah permohonan (penangguhan) ini.

“Pihak pendakwaan bercadang memanggil 20 saksi pendakwaan lagi untuk memberi keterangan, tertakluk kepada perubahan keadaan yang dinamik,” katanya.

Sehingga hari ini, seramai 51 saksi pendakwaan sudah dipanggil sepanjang perbicaraan SRC.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan Tommy turut berhujah bahawa kes anak guamnya akan diprejudiskan sekiranya kedua-dua perbicaraan dijalankan serentak.

“Alasan diprejudiskan apabila pasukan pembelaan bagi kes SRC dan 1MDB adalah terdiri daripada pasukan yang sama.

“Oleh itu persediaan bagi pembelaan anak guam saya akan diprejudiskan kerana peguam saya perlu membuat persediaan bagi kedua-dua kes yang berbeza pada waktu sama.

“Keadaan itu menyebabkan penindasan berlaku terhadap pembelaan memandangkan banyak dokumen yang perlu dikaji,” katanya.

Menurut Muhammad Shafee, beliau juga mempunyai kes lain di mahkamah berlainan di mana tarikh perbicaraan juga sudah ditetapkan pada November 2019 hingga awal tahun depan.

“Selain kes SRC tidak dapat ditamatkan sebelum 16 Ogos. Anak guam saya tidak dapat mendapatkan pembelaan dan perbicaraan adil dalam semua kes dihadapinya,” katanya.

Berita Harian X