Jumaat, 19 Julai 2019 | 12:26pm
Suspek ditangkap orang awam di sebuah restoran di Mutiara Rini, Skudai. - Viral Facebook

Lelaki mengamuk di restoran ditahan

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sebilah kapak daripadanya selepas dia mengamuk di hadapan sebuah restoran di Mutiara Rini, Skudai, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berumur 34 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk dan dia ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang pengadu iaitu lelaki berumur 22 tahun.

“Menurut pengadu, semasa dia berada di restoran berkenaan pada kira-kira 11.50 malam, lelaki bersenjatakan kapak itu menimbulkan kekacauan di kawasan tersebut dalam keadaan mabuk.

“Lelaki tersebut turut memukul seorang lelaki warga asing lalu pengadu bertindak untuk membantu lelaki warga asing berkenaan dan terus menghubungi pihak polis,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, sepasukan anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri kemudian menahan lelaki terbabit pada 11.58 malam di hadapan restoran itu selepas diserahkan oleh pengadu.

Beliau berkata, polis turut merampas kapak berkenaan dan lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera dan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya. - BERNAMA

Berita Harian X