Jumaat, 19 Julai 2019 | 6:27pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto BERNAMA

Polis siasat dakwaan Farhash tidak diberi makan

KUALA LUMPUR: Polis membuat laporan terhadap dakwaan mengatakan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, tidak diberikan makan semasa disoal siasat polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata laporan dibuat bagi menyiasat tuduhan yang disifatkan palsu dan berbentuk fitnah itu.

“Kita akan panggil individu yang terbabit membuat dakwaan itu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Huzir tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai individu yang dimaksudkannya.

Sebelum ini, media melaporkan Majlis Pimpinan Keadilan (MPN) Perak menerusi satu kenyataan, mendakwa Farhash Wafa tidak diberikan sebarang makanan hampir 24 jam ketika dalam tahanan polis.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, ketika ditemui pemberita menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Huzir berkata lima daripada mereka yang ditahan bersama Haziq Abdullah Abdul Aziz berhubung siasatan kes video lucah sudah dibebaskan.

“Tiga lagi termasuk Haziq dan Farhash masih ditahan, dengan tempoh tahanan reman mereka akan tamat esok.

“Keputusan sama ada mereka disambung reman atau tidak bergantung kepada keputusan esok. Setakat ini tiada tangkapan baharu yang dibuat,” katanya.

Ahad lalu, Haziq, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, yang dikaitkan dalam isu video lucah, ditahan bersama lima lagi lelaki di sekitar Lembah Klang.

Haziq bersama lima lelaki terbabit kemudian direman selama enam hari dan dua hari selepas itu, Farhash Wafa yang juga Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditahan di Johor Bahru bersama dua lelaki.

Berita Harian X