Jumaat, 19 Julai 2019 | 6:54pm

Seekor harimau ditangkap

DUNGUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya menangkap seekor harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, di sini, hari ini.

Harimau jantan terbabit ditembak menggunakan peluru ubat pelali sewaktu berehat di dalam sebuah belukar yang terletak kira-kira 500 meter daripada jalan utama di kampung terbabit, jam 3.30 petang.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusof berkata, haiwan spesis Harimau Malaya itu akan ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai Perak.

Katanya, operasi memburu seekor lagi harimau yang menggemparkan penduduk Kampung Besul Lama, diteruskan.

Berdasarkan ukuran badan dan belangnya, harimau yang ditangkap hari ini dipercayai yang muncul di kampung itu semalam.

Harimau itu dimandikan untuk menyedarkannya dan ditempatkan di surau kampung berkenaan buat sementara.

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya menangkap seekor harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, hari ini. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X